Khamis, 3 Oktober 2019

CIRI-CIRI YANG PERLU ANDA TAHU UNTUK MEMILIH KAWAN BAIK




Ada hubungan persahabatan yang terputus kerana teguran salah seorang sahabatnya supaya menutup aurat. Ada persahabatan yang terlerai kerana tidak bersefahaman dan berlainan parti politik.

Dalam cerita lain, ada yang memutuskan persahabatan kerana kawannya itu tidak mahu ‘melepak’ bersama kerana ingin berubah dan sering mengunjungi masjid. Masih banyak kisah persahabatan yang terputus kerana hal dan perkara kecil.

Rasulullah s.a.w bersabda;

“Mahukah aku tunjukkan pada kalian tentang sesuatu yang darjatnya lebih utama daripada solat, puasa, sedekah?”

Para sahabat menjawab,

“Mahu, wahai Rasulullah!’

Baginda s.a.w menjawab,

“Perbaiki pergaulan, kerana rosaknya hubungan baik bererti mencukur, aku tidak mengatakan mencukur rambut, tapi mencukur agama.”Hadis Riwayat at-Tirmidzi

Sesungguhnya begitulah pentingnya menjaga persahabatan, dan begitu buruk kesannya jika memutuskan persahabatan itu. Jagalah hubungan dengan sahabat baik dan niat bersahabat kerana Allah s.w.t.

Lalu bagaimana sifat-sifat sahabat baik yang sejati kerana Allah? Berikut adalah antara sifat-sifatnya;

1 – Sering Mengingatkan Kepada Allah S.W.T

Imam Syafie pernah berpesan;

“Jika engkau punya teman yang selalu membantumu dalam merangka ketaatan kepada Allah s.w.t, maka peganglah dia erat-erat, jangan pernah kau lepaskannya. Kerana mencari teman yang sebaik itu susah, tetapi melepaskannya sangat mudah sekali.”

Oleh itu, sahabat yang sejati adalah yang selalu mendorong kita untuk membuat kebaikan ke jalan yang dirahmati Allah s.w.t. Dia juga tidak akan membiarkan kita untuk lalai mendirikan solat, berpuasa dan ibadah lain.

2 – Rela Dimarahi Demi Kebenaran

Sahabat yang sejati sebenarnya tidak akan marah dan menyesal sekalipun dirinya dibenci atas tegurannya yang membawa kebaikan kepada kita. Ini kerana tujuan utamanya adalah untuk tidak terus membiarkan kita melakukan kesalahan. Sahabat sejati juga adalah pemberi ingatan yang baik dan setia.

3 – Sentiasa Kelihatan Ceria Dan Menenangkan

Walaupun dalam menghadapi masalah, seorang sahabat sejati akan berusaha untuk menutupi permasalahannya itu agar dapat kelihatan ceria dan gembira apabila bersama kita.

Sahabat yang baik adalah apabila dia mampu melindungi kesedihan itu tanpa diketahui dan dibimbangi oleh sahabatnya yang lain.

“Jangan abaikan kebaikan sekecil apapun, meski hanya dengan menjumpai saudaramu dengan wajah berseri-seri.” Hadis Riwayat Muslim dan Tirmidzi

4 – Penyokong Dan Pemberi Semangat

Seorang sahabat sejati tidak menemani kita mengeluh dan sama-sama menyesali tanpa berbuat apa-apa. Tetapi dialah yang memulihkan keadaan dengan membantu kita sedaya upanya.

Dia juga sahabat yang positif untuk membangunkan kita dari kejatuhan dan putus asa, selain mengingatkan kita untuk bersyukur atas hikmah ujian Allah s.w.t.

5 – Bersama-sama Dalam Setiap Keadaan

Apapun yang terjadi pada kita, seorang sahabat yang sejati tidak akan meninggalkan kita. Ini kerana tujuannya bersahabat adalah kerana Allah s.w.t dan bukan menyayangi kita kerana kepentingan dirinya semata-mata.

Oleh itu, dia akan selalu berada dengan kita dalam setiap keadaan yang bermasalah, gembira dan sebagainya. Andai kita jatuh sekalipun dia sentiasa ada untuk membangunkan kita kembali pada bila-bila masa dengan ikhlas.

Para ulama lainnya berkata:

“Seorang sahabat adalah orang yang tidak ingin dirimu menderita, akan terus memberimu semangat ketika engkau sedang kelemahan. Tidak ikut mencaci ketika orang lain mencacimu.”

-------------------------------------------------------------- 
Connect with Me 📲 
-------------------------------------------------------------- 
☞ Instagram : 
☞ Email Work : zulfattah91@gmail.com 
☞ Whatsapp : 011-16840717 
--------------------------------------------------------------
--------------------------------------------------------------

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Terima Kasih :D